Alam Senifoto
Alhamdulillah, hasrat saya untuk menulis sebuah panduan senifoto dalam Bahasa Melayu menjadi kenyataan setelah terbinanya laman sesawang ini bermula 15 Oktober 1999.
Menjadi jurufoto yang baik tidak semestinya menghadiri apa-apa pengajian di bilik kuliah atau kursus. Perkara ini sudah dibuktikan oleh beberapa orang karyawan foto di Malaysia. Mereka memiliki bakat dan daya kreativiti yang tinggi. Penghasilan gambar yang bermutu bermula dengan hasil kerja yang bersungguh-sungguh.
Namun untuk menjadi jurufoto yang berilmu maka sebuah kuliah perlu diikuti. Hakikatnya tidak semua yang mampu kerana wujud beberapa halangan tertentu.
Minat pada sebuah kamera timbul dengan tiba-tiba yang akhirnya itulah yang dikenali sebagai kerjaya dalam seni foto. Ilmu perlu ditimba,kemahiran perlu diasah.
Justeru, pada tahun 1999 Alam Seni foto~photography for all~wujud pada tanggal 15 Oktober. Ketika itu kamera digital belum lagi diterima ramai oleh karyawan foto.
Maka anda akan memperolehi kebanyakkan nota dalam laman ini membicarakan seni foto konvensional (filem). Namun anda mungkin tidak terfikir seni foto filem merupakan media awal dalam menghasilkan karya. Alam Seni foto~photography for all~ memberikan anda peluang melihat dan menatap teknik membuat seni foto Hitam dan Putih.
Panduan senifoto ini pada asalnya ditulis untuk kegunaan pelajar Kursus Senifoto Program Ko Korikulum Universiti Kebangsaan Malaysia tapi setelah saya merasakan kandungannya perlu disebarkan kepada masyarakat umum, maka saya telah membangunkan sebuah laman sesawang dengan menggunakan tapak web Tripod. Alamatnya http://alamsenifoto.tripod.com.
Setelah hampir empat tahun menggunakan alamat tersebut saya memikirkan sudah tiba masanya menggunakan server yang bercirikan Malaysia. Justeru saya telah memindahkan semua kandungan Alam Senifoto ke server UKM tanpa mengubah kandungannya. Alam Senifoto kini hadir dengan rekabentuk baru.
Photography For All
Mulai 15 November 2010 setelah sebelas tahun Alam Seni Foto wujud saya mengorak langkah dengan memindahkan secara berhati-hati ke laman berbayar tetapi masih menggunakan nama yang sama.
Semoga dengan wujudnya Alam Senifoto ini akan memberi pilihan untuk masyarakat Malaysia khasnya dan di nusantara am yang menggunakan bahasa Melayu untuk mendapatkan ilmu fotografi yang kian berkembang setelah munculnya era digital.
Menjadi harapan saya agar laman web ini digunakan sepenuhnya untuk menghubung silatulrahim. Saya mengharapkan jika anda telah mahir dan menjadi seorang yang professional, janganlah menjadikan senifoto sebagai wadah untuk digunakan sebagai menyalurkan fitnah, maksiat dan sebagainya. Jadilah seorang professional yang bermaruah dan beretika!
Ini kerana senifoto boleh diibaratkan seperti pisau; “Boleh membunuh dan boleh membantu dalam kehidupan seharian kita”.
Semua karya; tulisan, foto adalah milik:Abd. Raai bin Osman @RaaiMan. Kecuali jika dinyatakan sumber rujukan.
Adalah amat dikesali jika berlaku pelagiat, penyalinan samada dalam bentuk apa sekalipun. Sebarang penyalinan hendaklah mendapat keizinan daripada penulis terlebih dahulu. Penghargaan yang sepatutnya perlu diberikan.
Sebarang teori yang huraikan merupakan hasil rujukan, pengalaman penulis. Justeru perbezaan mutu adalah tidak menjadikan keputusan muktamad.
Sebarang teguran dan cadangan membina amat dialu-alukan.
Sekian.
Abd.Raai bin Osman
Desa Sentosa,
Maklumat balas kepada:
roraai212@gmail.com
Sejarah Fotografi
Pada 2 September 2014-Hari ini saya menghadiri sesi temuramah bersama Profesor Datuk Dr Yusof Haji Othman, Pengarah Islam Hadari UKM (seorang Profesor Fizik) bersama rakan wartawan Sdra Shahfizal Musa.
Saya diterangkan oleh Profesor Fizik ini bahawa pencipta kamera pertama ialah Ibn a-Haytham. Beliau adalah orang Islam yang melakukan percubaan menghasilkan lobang kecil dalam kamarnya. Dari cahaya ini maka wujudlah imej terbalik dari lobang kecil dari kemahnya (yang dipanggil Kamar). Menurut Prof Yusof ia kemudian disebut Kamari yang kini diubah menjadi sebutan KEMERA.
Pada hemat saya, sesiapa yang pernah membaca sebuah buku yang dihasilkan oleh National Geografi pernah terjumpa kisah ini.
Kamera ini dinamakan Abscura yang dicatatkan dalam sejarah bermula sekitar 1827. Sejarah ini kalau dilihat dalam web saya sebelum ini di (www.alamsenifoto.com ) ia telah dipahatkan sebagai penciptanya adalah orang bukan Islam.
Sepanjang perbualan sepanjang dua jam Prof Yusof memberitahu bahawa inilah propaganda orang barat bahwa semua ciptaan sains bukan dari kalangan orang Islam.
Dalam pencarian saya menemui satu tulisan yang panjang dan kupasan menarik di http://bloggke-10.blogspot.com/2013/08/pembongkaran-pencipta-kamera-pertama.html
Maka kita sebagai orang Islam tanpa ragu-ragu seharusnya kena mengakui akan sejarah penciptaan kamera ini.
.….@ saya masih mengkaji bersama ilmuan……

Senifoto ialah lukisan menerusi cahaya. Tanpa cahaya senifoto tidak boleh berfungsi. Istilah Photography diperkenalkan pada tahun 1839. Ketika teknologi senifoto terus berkembang bersama dengan tamadun manusia, ilmu amat penting bagi menjana mutu kerja pengamal senifoto. Dalam era ledakan ICT perkembangannya amat ketara sekali apabila senifoto telah diadun bersama teknologi ICT dan wujudnya Kamera Digital yang telah merobah dunia senifoto.
Senifoto tradisional masih berkembang bersama dengan perkembangan ledakan teknologi ICT. Senifoto tidak dapat dipisahkan dengan tradisi tradisionalnya. Kamera digital telah dapat diterima dengan meluas namun senifoto menggunakan filem masih ada tempat dikalangan pengamal senifoto.
Kamera mula diperkenalkan ketika para pelukis menghadapi masalah untuk merakamkan imej potrek sekitar abad 17 dan 18. Justeru itu mereka telah mencipta kamera Abscura untuk kemudahan merakam imej.
Tahun 1900 seorang Jurugambar telah mencipta kamera Mammoth (lihat gambar diatas). Kamera ini amat besar ukurannya dimana beratnya 1,400 pound. Lens seberat 500 pound. Sewaktu mengubah atau memindahkannya tenaga manusia seramai 15 orang diperlukan!. Kamera ini menggunakan filem sebesar 4 ½ x 8 kaki dengan bahan kimia sebanyak 10 gallons digunakan ketika memprosesnya.
Abscura telah diubahsuai sehinggalah tercipta kamera Kodak oleh George Eastmen pada tahun 1888. yang lebih kecil. Pada zaman ini wujud kamera lebih kecil dan yang terkini ialah kamera digital.

Diawal kewujudan kamera digital tidak ramai menggemarinya terutama kalangan profesional. Ini kerana kamera digital generasi awal sekitar hujung tahun 1980an, masih menggunakan ciri-ciri kamera kompak. Kamera digital waktu itu kecil, ringan dan kemampuan imej tidak memenuhi kehendak profesional. Namun begitu sekitar awal 2000 kamera digital direka dengan mengambil kira selera profesional. Akhirnya kita telah memperolehi kamera digital dalam format SLR (Single Lens Reflex). Walaubagaimanapun harganya masih mahal dan tidak semua orang mampu memilikinya namun terdapat kamera digital yang menyerupai SLR boleh dibeli dengan harga agak murah.



Gambar dari GPro.com, Adorama.com, Nikon.com